Thursday, July 2, 2009

SASTERA RAKYAT

Sastera rakyat ialah kesusasteraan yang lahir di kalangan rakyat. Pada lazimnya, sastera rakyat merujuk kepada kesusasteraan rakyat daripada masa lampau, yang telah menjadi warisan kepada sesuatu masyarakat. Sastera rakyat adalah sebahagian daripada kehidupan budaya bagi masyarakat lama. Misalnya dalam masyarakat Melayu lama cerita rakyat merupakan satu bentuk hiburan yang penting untuk orang kampung.


Jenis-jenis Sastera Rakyat

Sastera rakyat merupakan satu dunia yang luas, ia merangkumi segala pengucapan indah-indah yang lahir di kalangan, dan tidak saja merujuk kepada cerita rakyat. Secara kasarnya sastera rakyat boleh dibahagi kepada 2 kategori yang besar, iaitu sastera rakyat naratif dan sastera rakyat bukan naratif.


Sastera rakyat naratif

Sastera rakyat naratif merujuk kepada sastera rakyat yang menghuraikan suatu peristiwa. Sub-genre sastera naratif termasuklah mitos, legenda, dan juga cerita rakyat

Mitos - Mitos merupakan cerita yang bersifat dogeng yang berfungsi untuk menerangkan asal usul kejadian tertentu, termasuklah kejadian alam, manusia binatang dan penempatan. Pada mulanya, mitos merupakan satu bentuk kepercayaan yang memenuhi keinginan manusia untuk mengetahui asal usul sesuatu kejadian.

Lagenda - Lagenda pula ialah cerita yang mengisahkan sejarah satu-satu tempat atau peristiwa zaman zilam. Ia mungkin berkisah tentang seorang tokoh, keramat dan sebagainya. Setiap penempatan yang bersejarah lama mempunyai legendanya sendiri. Misalnya di Langkawi, kita akan menjumpai legenda Mahsuri dan di Melaka kita dapat menjumpai legenda Hang Tuah.

Cerita Rakyat - Cerita rakyat merupakan satu bentuk cerita yang popular di kalangan rakyat, yang menjadi hiburan penting di masyarakat berkenaan.Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagai jenis cerita rakyat seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan cerita pengalaman


  • Asal Usul Pembukaan Negeri Melaka
  • Puteri Buluh Betung
  • Singapura Di Langgar Todak
  • Batu Belah Batu Bertangkup
  • Puteri Santubong Puteri Sejinjang


Sastera rakyat bukan naratif

Sastera rakyat bukan naratif merujuk kepada pengucapan yang indah-indah yang tidak mengandungi penceritaan suatu peristiwa. Bentuk sastera ini sebenarnya wujud di sekeliling kita, tetapi umumnya orang ramai tidak menyedari kewujudannya.

Peribahasa Peribahasa adalah bahasa kias yang digunakan untuk mengindahkan penuturan di kehidupan seharian. Perkara yang termasuk dalam peribahasa termasuk perumpamaan, simpulan bahasa, pepatah, perbilangan dan kiasan.
Teka-teki Teka-teki adalah sastera lisan yang popular di kanak-kanak. Ia adalah soalan yang disampaikan dengan berirama dan penuh kiasan. Fungsinya adalah untuk permainan.
Puisi rakyat Puisi rakyat adalah jenis puisi yang merangkumi pantun, jampi dan mantera.


Kegunaan Sastera Rakyat

Secara ringkasnya, sastera rakyat mempunyai kegunaan seperti berikut:

• Sebagai alat hiburan
• Sebagai alat pengajaran
• Membiasakan masyarakat menggunakan kata-kata yang indah.
• Menumbuhkan di kalangan masyarakat keupayaan menganal dan seterusnya
mengapresiasi sastera.
• Menjadi dasar penciptaan karya sastera baru.

No comments: