Thursday, July 2, 2009

PERMAINAN TRADISIONAL

PENGENALAN

Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Kegiatan harian, bermusim dan tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza. Ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba pesawah dan nelayan mengisinya dengan kerja-kerja sampingan. Kerja-kerja demikian boleh ditangguhkan dengan mudah. Tempoh peralihan antara musim inilah digunakan untuk mengadakan keramaian serta pesta.
Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.



ACI SOROK

Dibeberapa tempat permainan ini dinamakan juga sebagai main sorok-sorok. Kanak-kanak lelaki dan perempuan amat mengemari permainan ini, ia amat mudah dan jumlah pemain yang tidak terhad. Lebih ramai yang bermain lebih mendatangkan keseronokan dan bertambah meriah lagi bagi mereka. Jenis permainan luar rumah dan memerlukan kawasan yang luas, persekitaran rumah akan dijadikan gelanggang. Sebatang pokok atau tiang akan dijadikan ibu atau rumah iaitu induk untuk pemain yang akan mencari rakan mereka yang menyorok.


Undian


Sebelum permainan dijalankan, kesemua pemain akan mencari seorang yang dinamakan pencari. Undian secara lai lai li tam plong dijalankan kepada semua pemain.



Cara Bermain dan Peraturan


Setelah pencari ditentukan, ia hendaklah berdiri dengan menutup matanya di rumah induk. Kiraan akan dibuat 1 hingga 100 atau kurang bilangannya secara kuat. Setelah selesai kiraan dibuat, pencari akan mula mencari rakan pemain lain yang menyorok disekitar kawasan yang telah ditetapkan. Jika terdapat pemain yang menyorok diluar kawasan yang telah ditetapkan ia dikira jadi dan akan mengambil peranan sebagi pencari pula.
Sekiranya pencari telah menjumpai salah seorang dari mereka, hendaklah disebut dengan kuat namanya dan dituruti dengan sebutan ibu. Dalam masa yang sama pencari hendaklah berlari ke rumah induk serta mencuit induk, dengan tujuan mematikan pemain yang ditemui agar pemain itu tidak boleh mencuit induk pula. Pencarian ini akan dilakukan berterusan hingga kesemua pemain yang menyorok ditemui. Setelah seleasi kesemua pemain yang menyorok ditemui dan tiada seorang pun yang dapat membantu membatalkan cuitan pencari ke rumah induk, maka pemain yang mula-mula ditemui itu akan jadi pencari pula. Seandainya pemain yang ditemui itu sempat mencuit terlebih dahulu dari pencari ke rumah induk, maka pencari ini akan jadi semula sebagai pencari dan permainan dimulakan semula. Hal yang sedemikian juga boleh terjadi sekiranya salah seorang dari pemain mencuit rumah induk dengan menjeritkan perkataan ibu, maka permainan akan dimulakan semula dan pencari akan tetap memegang peranannya.



KONDA KONDI


Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang. Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang. Undian secara 'wan to som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.


Permainan Pertama


Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang. Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.



Permainan Kedua


Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat.
Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.


Permainan Ketiga

Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.



Jala Itik


Permainan ini bertujuan menentukan pasukan mana yang mempunyai bilangan ahli paling ramai. Tiada sebarang alatan diperlukan, cuma sebuah lagu yang menarik dinyanyikan untuk mengiringi setiap langkah permainan.


Cara Bermain


Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan para ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan 'Jan-jan jala Jala itik jala ayam. Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh. Singgah Cik Dayang singgah. Makan sirih mulut merah." Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.


Menentukan Pemain


Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan. Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain. Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing.



Pertukaran Pemain


Jika ada kumpulan mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai daripada kumpulan yang satu lagi, rayuan boleh dibuat untuk pertukaran ahli bagi mengimbangkan jumlah ahli setiap pasukan. Bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dibuat setelah persetujuan di antara kedua-dua belah pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat pertukaran, permainan akan tamat di situ dan ketua itu dikira menang, kerana mempunyai ahli yang paling ramai.



Menentukan Pemenang


Sebaliknya jika ini terjadi, satu perlumbaan dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat bagi membolehkan kedua-dua pasukan beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan berdiri sama jauh dari garisan dan tangan mereka berpaut antara satu sama lain. Pemain-pemain lain beratur di belakang ketua masing-masing sambil memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan berusaha menarik antara satu sama lain supaya melangkah garisan itu, dengan ahli lain membantu, seperti tarik tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu berjaya menarik pasukan lawan melintasi garisan itu, pasukannya dianggap menang. Maka dia boleh meminta sejumlah pemain yang dikehendakinya untuk mengimbangi pasukannya dengan pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika pasukannya gagal berbuat demikian, maka dia dianggap kalah.


GASING

Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.


Jenis-jenis Gasing


Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.
Membuat Gasing Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing. Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik. Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja.


Cara Bermain


Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.
Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan. Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.



Pertandingan Gasing


Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.



Gasing Uri


Dua orang pembantu diperlukan dalam pertandingan gasing uri; seorang memegang cokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang. Lopok juga diperbuat danipada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang, 45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras. Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih daripada satu jam.


Gasing Pangkah


Gasing jenis ini pula dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian. Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing. Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.





Yo-yo Cina

Yo-yo cina ialah permainan dari China yang mempunyai dua cakera yang sama saiz yang dihubungkan oleh gandar yang panjang. Yo-yo cina akan sentiasa berpusing pada tali yang diikat pada dua batang kayu kecil. Pemain akan memegang hujung kedua-dua kayu dan mengimbangi yo-yo daripada jatuh. Permainan ini dikenal pasti telah wujud sejak Dinasti Ming sekitar tahun 1386 hingga tahun 1644 selepas Masihi. Yo-yo cina tradisional dibuat daripada buluh, dimana ianya mudah patah dan tidak sesuai untuk aksi-aksi lasak. Sesetangah yo-yo cina dimasukkan alat yang menghasilkan bunyi apabila dipusingkan dengan laju. Bunyi ini membolehkan pemainnya mengimbangi kelajuan yo-yo.



Go


Go ialah permainan berpapan yang dimainkan oleh dua orang. Go juga dikenali sebagai wéiqí di dalam bahasa China. Permainan ini kaya dengan strategi yang kompleks tetapi hanya mempunyai undang-undang permainan yang mudah. Go hanya menggunakan biji-biji berwarna hitam dan putih.



Xiang Qi

Xiangqi merupakan sebuah permainan papan cina yang dimainkan oleh dua orang pemain. Xiangqi berada dalam keluarga yang sama dengan catur. Xiangqi bentuk kini berasal dari China, oleh itu ianya digelar sebagai Catur Cina. Permainan ini didapati telah mula dimainkan seawal abad ke-4 selepas Masihi di China. Xiangqi merupakan salah satu permainan papan yang paling popular di dunia. Ciri-ciri yang unik termasuklah pergerakan unik pao (meriam), peraturan yang melarang panglima (seperti "raja" dalam catur) daripada bertemu dalam garisan yang sama, serta "sungai" dan "istana" yang mengehadkan pergerakan sesetengah buah catur.



Kabadi


Kabadi ialah sebuah permainan yg dibentuk dalam permainan tradisional India. Permainan ini sangat terkenal di Selatan Asia dan tersebar dengan meluas di Tenggara Asia, Jepun, dan Iran. Ia adalah permainan bangsa Bangladesh dan juga meluas di Tamil Nadu, Andura Pradesh, Punjab dan Maharasutran di India. Kabadi juga dimainkan oleh tentera British untuk tujuan hiburan, menjaga kemantapan badan dan juga untuk mengumpan tentera askar dan komuniti Asia British. Dalam satu permainan, 2 pasukan dibentuk yang mana terdiri daripada tujuh pemain. Gelanggang yang digunakan adalah 12.5m x 10m (separuh daripada gelanggang bola keranjang). Setiap pasukan mengandungi pemain simpanan seramai 5 orang. Permainan ini dilangsungkan selama 20 minit, dengan 5 minit setengah untuk rehat semasa pertukaran gelanggang. Satu pasukan akan menghantar penyerang kepada pasukan pihak lawan, yang mana bertujuan untuk menyentuh salah seorang daripada pemain pihak lawan sebelum patah balik kepada pasukannya. Pemain yang telkah disentuh akan terkeluar dan meninggalkan padang. Sementara itu, pihak pertahanan membentuk sebuah rantai seperti berpegangan tangan antara satu sama lain. Jika rantai itu terputus, salah seorang pemain pertahanan akan meninggalkan padang. Sasaran pertahanan adalah untuk menghentikan penyerang balik ke pasukannya sebelum berhenti berehat. Jika penyerang berhenti sebelum sampai ke destinasi, penyerang itu akan meninggalkan padang. Pemain juga boleh melepasi sempadan garisan atau bahagian bdn mencecah tanah di luar garisan, kecuali semasa bergelut dengan pasukan pihak lawan. Setiap pemain yang terkeluar, pihak lawan akan mendapat mata. Pasukan yang skor dua mata bonus, yang dipanggil lona, manakala semua pihak lawan akan tersingkir. Pada akhir perlawanan, pasukan yang mengumpul mata tertinggi akan menang. Permainan adalah berdasarkan kesesuaian umur dan berat. Permainan ini terdiri daripada satu pengadil, dua pembantu pengadil, satu penjaring dan dua pembantu penjaring.




Chaturanga



Asal-usul catur modern semula dikenal dengan nama Charuranga, yang berkembang di India pada abad ke-6. Sejak awal permainan ini sudah memperkenalkan dua pihak yang bermain, perbedaan buah catur dengan kekuataan yang berbeda, dan kemenangan tergantung pada buah terakhir, atau dalam catur modern ditandai dengan tumbangnya sang raja. Dalam catur kuno, papan catur memiliki 100 kotak atau malah lebih.

Pada awal abad 19, sebuah pendapat disampaikan Kapten Hiram Cox dan Duncan Forbes bahwa dulu catur dimainkan 4 orang sekaligus, termasuk empat pemain dalam chaturanga.

Dalam terminologi sanskrit, "Chaturanga" berarti "memiliki empat bagian" dan dalam puisi epos kepahlawanan kata itu juga berarti "tentara." Nama itu sendiri bersumber dari sebuah formasi pertempuran dalam epos Mahabrata yang terkenal di India. Chaturanga adalah sebuah simulasi permainan perang guna memperlihatkan kekuatan strategi militer India saat itu.

Ashtāpada, kotak 8 x 8 di sebuah papan merupakan tempat bermain Charuranga. Papan lain yang dikenal di India adalah Dasapada 10 x 10 dan Saturankam 9 x 9.

Ilmuwan Arab Abu al-Hasan 'Alī al-Mas'ūdī memberi rincian tentang penggunaan catur yakni sebagai sebuah alat strategi militer, matematik, perjudian dan terkadang dihubungkan dengan ramalan nasib di India dan tempat lainnya. Catatan Mas'ūdī juga menunjukkan Ivory di India merupakan daerah produsen alat permainan catur untuk pertama kali, menyebarkan serta memperkenalkan permainan ini dari Persia ke India semasa Kerajaan Nushirwan.

Kemudian terjadi evolusi pada permainan chaturanga yang dikenal dengan nama Shatranj (chatrang), yakni sebuah permainan dua orang pemain yang kekalahan dan kemenangan ditentukan melalui pembersihan terhadap semua bidak lawan (kecuali raja) atau melalui penaklukan terhadap raja lawan. Posisi pion dan kuda tidak berubah, tapi bidak lain mengalami perubahan bentuk.

No comments: